Ikan Masak Tauchu
“kau perlu kahwin Man…”
Aku berpaling. Pelan-pelan Usin
menghampiriku. Tidak berbaju seperti biasa. Cuma kali ini dia mengenakan seluar
track. Kadang-kadang hanya berspender bila berada di rumah.
Aku senyum. Melontar kembali
pandanganku ke luar jendela. Menarik pelan-pelan rokok yang sudah hampir ke
garis penghabisan. Fikiran aku melilau mencari kembali khayalan ku yang tadi
berselerak sejurus sapaan Usin yang sedikit mengejutkan aku itu.
“Kalau macam aku ni kan, aku rasa
bagus lagi hidup bujang. Bukan apa, bini aku ni susah.” Aku pandang tubuhnya
yang gempal. Dalam bilik aku yang hanya disirami cahaya lampu kalimantang dari
ruang tamu, mimik mukanya tidak kelihatan jelas semasa dia menyuarakan keluhan.
“Tahun berapa kau kahwin tu Sin?”
Aku sengaja memotong ayatnya dengan soalan yang membuatkan dia seperti tercekik
tertelan kata-katanya yang tidak sempat dia luahkan.
“Err… tahun 94. Umur aku 21.” Otaknya
mengaplikasikan soalan aku. Aku angguk perlahan. Mengiyakan fakta itu. Sejak 10
bulan lalu tinggal bersama-sama Usin di rumah kedua kami ini, adalah dalam dua
tiga kali dia bercerita tentang perjalanan hidupnya – sedari bujang hingga
sekarang beranak lima.
Aku tau dua tiga minggu ini
rumahtangganya sedikit goyah. Tidak pula aku dapat sahihkan punca sebenar kerna
bukan bidang aku untuk menyelak tepi kain dorang. Impak dari krisis itu dia
tidak merasa gajinya bulan ini berikutan isterinya yang mogok memegang kesemua
akaunnya. Dan sudah dua minggu juga isterinya tidak ikut bersama tinggal di
sini.
“Aku ingat aku mau kahwin la Man.”
Aku pacik puntung rokok aku yang
sepatutnya ada dua tiga pam lagi boleh disedut.
“biar dia rasa. Isteri aku ni mau
kena ajar sikit.” Aku diam.
“tapi susah juga Man. Cewek aku
sekarang ni tiada kerja.”
“eh, dia nda mengajar lagi?” Aku
soal. Menampakkan sedikit minatku untuk melayan keluhannya.
“nda sudah. Berhenti dia. Nda tau
kenapa…” Sambil tangannya menyapu-nyapu perutnya yang persis ibu mengandung 8
bulan.
“Kalau kau mau kau ambik la Man..”
Aku mulai rasa tidak selesa dengan cadangan itu.
“Gila kau. Mana aku kenal tu..”
aku cuba menepis dengan alas an yang rapuh.
“ui, cantik bah Man. Kau tau
susunya putih. Nampak paip-paip biru di sekitar susunya.” Aku tergamam. Merenung
aksi si Usin memicit-micit susunya untuk meyakinkan aku metafora yang baru
disebutnya tadi –‘ paip-paip biru’ yang membawa maksud urat-urat yang kadang
kelihatan ke atas sesorang yang berkulit putih mulus. Fikiran aku terus
mengadaptasi metafora itu. Terbayang tubuh wanita-wanita porno melakukan aksi
yang mengghairahkan. Celaka! Macamana aku boleh membayangkan itu. Sedangkan yang
menggayakan aksi itu - berdiri di depan
aku ini seorang laki-laki yang berwajah Mike Tyson. Ergghhh!!!
“Dusun* campur sungai bah tu Man…”
tambahnya seakan-akan menambah sedikit rencah untuk menyedapkan sebuah hidangan
yang sememangnya tidak menyelerakan.
Aku capai tuala yang bersidai di
tepi jendela.
“ke mana kau?”
“Mandi.” Aku meninggalkan si Usin
dengan sengih kerangnya.
Sampai di pintu antara dapur dan
bilik mandi, aku memandang dapur yang tidak berasap. Neuron-neuron otak aku
seperti bercantum dan menyalakan lampu idea.
“IKAN MASAK TAUCHU!” aku terjerit
kecil. Gembira kerna khayalan ku yang terganggu pada mulanya tadi itu ialah
membayangkan cara-cara memasak ikan masak tauchu untuk dijadikan lauk malam ini. Aku berjaya mengingatinya
semula.
~*gadis dusun memang mudah menarik perhatian aku. %^&*
No comments:
Post a Comment