Monday, May 20, 2013

Ada Perkara Yang Aku, Kau Takkan Paham


Ikan Masak Tauchu

“kau perlu kahwin Man…”

Aku berpaling. Pelan-pelan Usin menghampiriku. Tidak berbaju seperti biasa. Cuma kali ini dia mengenakan seluar track. Kadang-kadang hanya berspender bila berada di rumah.

Aku senyum. Melontar kembali pandanganku ke luar jendela. Menarik pelan-pelan rokok yang sudah hampir ke garis penghabisan. Fikiran aku melilau mencari kembali khayalan ku yang tadi berselerak sejurus sapaan Usin yang sedikit mengejutkan aku itu.

“Kalau macam aku ni kan, aku rasa bagus lagi hidup bujang. Bukan apa, bini aku ni susah.” Aku pandang tubuhnya yang gempal. Dalam bilik aku yang hanya disirami cahaya lampu kalimantang dari ruang tamu, mimik mukanya tidak kelihatan jelas semasa dia menyuarakan keluhan.

“Tahun berapa kau kahwin tu Sin?” Aku sengaja memotong ayatnya dengan soalan yang membuatkan dia seperti tercekik tertelan kata-katanya yang tidak sempat dia luahkan.

“Err… tahun 94. Umur aku 21.” Otaknya mengaplikasikan soalan aku. Aku angguk perlahan. Mengiyakan fakta itu. Sejak 10 bulan lalu tinggal bersama-sama Usin di rumah kedua kami ini, adalah dalam dua tiga kali dia bercerita tentang perjalanan hidupnya – sedari bujang hingga sekarang beranak lima.

Aku tau dua tiga minggu ini rumahtangganya sedikit goyah. Tidak pula aku dapat sahihkan punca sebenar kerna bukan bidang aku untuk menyelak tepi kain dorang. Impak dari krisis itu dia tidak merasa gajinya bulan ini berikutan isterinya yang mogok memegang kesemua akaunnya. Dan sudah dua minggu juga isterinya tidak ikut bersama tinggal di sini.

“Aku ingat aku mau kahwin la Man.”

Aku pacik puntung rokok aku yang sepatutnya ada dua tiga pam lagi boleh disedut.

“biar dia rasa. Isteri aku ni mau kena ajar sikit.” Aku diam.

“tapi susah juga Man. Cewek aku sekarang ni tiada kerja.”

“eh, dia nda mengajar lagi?” Aku soal. Menampakkan sedikit minatku untuk melayan keluhannya.

“nda sudah. Berhenti dia. Nda tau kenapa…” Sambil tangannya menyapu-nyapu perutnya yang persis ibu mengandung 8 bulan.

“Kalau kau mau kau ambik la Man..” Aku mulai rasa tidak selesa dengan cadangan itu.

“Gila kau. Mana aku kenal tu..” aku cuba menepis dengan alas an yang rapuh.

“ui, cantik bah Man. Kau tau susunya putih. Nampak paip-paip biru di sekitar susunya.” Aku tergamam. Merenung aksi si Usin memicit-micit susunya untuk meyakinkan aku metafora yang baru disebutnya tadi –‘ paip-paip biru’ yang membawa maksud urat-urat yang kadang kelihatan ke atas sesorang yang berkulit putih mulus. Fikiran aku terus mengadaptasi metafora itu. Terbayang tubuh wanita-wanita porno melakukan aksi yang mengghairahkan. Celaka! Macamana aku boleh membayangkan itu. Sedangkan yang menggayakan aksi itu -  berdiri di depan aku ini seorang laki-laki yang berwajah Mike Tyson. Ergghhh!!!

“Dusun* campur sungai bah tu Man…” tambahnya seakan-akan menambah sedikit rencah untuk menyedapkan sebuah hidangan yang sememangnya tidak menyelerakan.

Aku capai tuala yang bersidai di tepi jendela.

“ke mana kau?”

“Mandi.” Aku meninggalkan si Usin dengan sengih kerangnya.

Sampai di pintu antara dapur dan bilik mandi, aku memandang dapur yang tidak berasap. Neuron-neuron otak aku seperti bercantum dan menyalakan lampu idea.

“IKAN MASAK TAUCHU!” aku terjerit kecil. Gembira kerna khayalan ku yang terganggu pada mulanya tadi itu ialah membayangkan cara-cara memasak ikan masak tauchu untuk dijadikan lauk malam ini. Aku berjaya mengingatinya semula. 


~*gadis dusun memang mudah menarik perhatian aku. %^&*

No comments:

Post a Comment